UMNO DULU UMNO SEKARANG
UMNO DULU PAKAT TOLAK BILA NAK BAGI JAWATAN
UMNO SEKARANG BEREBUT NAKKAN JAWATAN
( tulisan ini di buat sempena lawatan Tun Abdullah Ahmad Badawi ke Myanmar semasa mula di lantik menjadi PM ke 5 dan telah di serahkan pada Tun pada tarikh tersebut semasa pertemuan bersama rakyat Malaysia di Myanmar)
Pergelutan UMNO bahagian Pokok Sena.
Apabila kekalutan politik bahagian Pokok Sena berlaku di Kedah memuncak pada pemilihan agung UMNO bahagian satu ketika dahulu di mana Dato’ Ahmad Bin Lebai Sudin telah memenangi pemilihan tersebut dengan mengalahkan calon lama iaitu Dato’ Abdul Rahman Ibrahim, ramai masyarakat kampong yang tidak henti-henti berdebat di serata kedai kopi, simpang jalan dan di mana-mana kesempatan dengan mengambarkan bahawa kemelut politik sekarang lebih menjurus kepada kekuatan fizikal, kewangan dan peras-ugut orang tertentu. Mereka telah melihat seolah-olah kasih sayang dalam UMNO makin pupus serta sikap kekeluargaan dalam UMNO makin terhakis.
Kalau dulu masyarakat kampong lebih melihat para Tok Guru Agama, Ketua Kampong dan Guru sekolah sebagai orang yang lebih layak memimpin kerana sikap dan ilmu pengetahuan mereka, tapi kini semuanya itu telah hampir hilang kerana keujudan masyarakat UMNO yang melihat menjadi pemimpin UMNO itu sebagai peluang untuk meraih keuntungan dan perlu di materialistikkan.
Kolah surau Pak Su Choh.
Semasa pergelutan di antara kedua-dua pihak ini berlaku di masa yang sama dan secara tiba-tiba masyarakat Kampong Masjid Lama, Tualang, Pokok Sena di kejutkan oleh berita yang terpapar di separuh muka surat akhbar tempatan tentang berita ‘Kolah Surau Pak Su Choh.’ dan sudah tentunya tulisan tersebut merangkumi beribu patah perkataan dan sekali lagi masyarakat kampong terkejut dan mereka berkumpul di mana-mana simpang jalan, kedai kopi, masjid, surau dan sekali lagi berdebat tentang permasalahan yang di tonjolkan oleh penulis dan ada yang menuding jari ke sini dan ke sana, tapi akhirnya Dato’ Ahmad Lebai Sudin yang memenangi pemilihan tersebut.
Pak Su Choh, orang yang di bangkitkan untuk mengisi kemelut pemilihan tersebut hanyalah Tok Guru agama biasa, imam muda, bekas guru KEMAS dan juga bekas guru agama Majlis Agama Negeri di samping memberi pengajaran agama Islam di banyak masjid dan surau secara rutin sehingga kini adalah seorang ketua cawangan UMNO yang telah berpuluhan tahun menyandang jawatan tersebut di Kampong Masjid Lama tersebut yang asalnya merangkumi beberapa kampong lain seperti kampong Keriang Menora, Kepala Bendang dan lain-lain lagi tapi akhirnya setelah Dato’ Ahmad Lebai Sudin memenangi pemilihan tersebut beliau telah mengarahkan beberapa kampong tersebut di pecahkan daripada UMNO cawangan Kampong Masjid Lama ke cawangan yang baru di ujudkan atas alasan yang beliau sendiri lebih tahu sehinggalah membawa kepada kekalahan beliau dalam pilihanraya yang lalu di sebabkan perpecahan tersebut.
Pak Su Choh ini bukan orang ternama yang punya pangkat berjela dan wang berjuta tapi beliau adalah Tok Guru yang banyak berjasa kepada masyarakat kampong tersebut biarpun pada satu ketika dulu beliau bersama isterinya pernah menyandang jawatan sebagai ahli jawatankuasa UMNO bahagian Kota Setar yang mana jika kini pasti dia juga mempunyai wang berjuta dan pangkat berjela tapi bukan itu yang di kehendakinya. Sehingga waktu tersebut ketika soal kolah surau beliau di perdebatkan di mana-mana sehingga di peringkat nasional beliau hanya melemparkan senyuman tanpa sebarang patah perkataan pun kepada pendebat-pendebat tersebut. Pada beliau masyarakat tidak perlu di takutkan tapi di hormati, di sayangi dan memberikan mereka peluang untuk membuka minda mereka serta tahu menilai antara yang benar dan batil biarpun perlu mengambil masa.
Pak Su Choh orang yang paling bahagia bila Pak Lah di lantik sebagai Perdana Menteri Malaysia ke lima .
Pak Su Choh berasa bahagia bila Pak Lah di lantik menjadi Perdana Menteri ke lima bukan kerana Pak Lah telah meluluskan peruntukan membina masjid di Kampong Tualang di suatu masa dulu semasa Pak lah masih TPM dan bukan juga kerana kelulusan tersebut berlaku atas daya usaha beliau dan beberapa rakan yang lain tapi beliau bahagia kerana kini anak Tok Guru agama seperti beliau telah berjaya menjadi Perdana Menteri Malaysia dan segala harapan Pak Su Choh untuk melihat anak bangsa kembali bertaut seakan makin melihatkan cahaya, juga semoga UMNO yang di perjuangkan selama hayatnya ini akan kembali kepada asasnya yang penuh kasih sayang, hormat menghormati dan segala budaya kekerasan, peras-ugut pasti akan dapat di hakis di sebabkan kekebalan iman anak bangsa di masa hadapan.
Di satu ketika dulu ketika saudara Anwar Ibrahim menjadi TPM pernah Pak Su Choh di tanyakan, apakah saudara Anwar mampu berjaya sebagai Perdana Menteri Malaysia kelima tapi beliau hanya tersenyum dan cuma menjawab saudara Anwar baik dan layak tapi dia masih muda dan masih perlu banyak belajar dari kesalahan dan biar pengalaman menentukan segalanya. Ternyata segala senyuman Pak Su Choh itu penuh dengan makna dan tidak hairanlah jika masyarakat kampong sentiasa akan menantikan jawapan Pak Su Choh bila menentukan hari pertama Ramadan dan Hari Raya Puasa.
Risalah perjuangan Pak Su Choh dalam UMNO.
Pak Su Choh telah berada dalam UMNO di kesemua zaman Perdana Menteri Malaysia dan telah memimpin cawangan tersebut juga dalam kesemua zaman Perdana Menteri dan beliau berkali-kali meminta untuk berundur tapi tidak di benarkan oleh masyarakat kampong dek kerana rasa kasih, sayang dan menghormati beliau di kampong tersebut dan mungkin juga masyarakat kampong mengenangkan segala jasa yang telah di taburkan oleh beliau selama ini yang mana kalaupun tidak besar tapi ramai juga anak kampong yang telah di usahakan untuk memasuki universiti, sekolah asrama penuh dan paling tidak pun ramai juga orang kampong yang di tolong supaya di percepatkan tarikh menunaikan haji daripada terpaksa menunggu giliran bertahun-tahun.
Risalah perjuangan dalam UMNO Pak Su Choh ini adalah mudah dan semudah masyarakat kampong memahami agama Islam iaitu yang haram adalah haram dan yang benar adalah benar. Masyarakat mestilah berkasih-sayang, hormat menghormati, tolong-menolong. Begitulah mudahnya risalah perjuangan beliau. Beliau berada dalam UMNO kerana sifat-sifat tersebut dan melihat UMNO sebagai hak orang Melayu yang perlu di pertahan dan di perjuangkan tanpa berbelah-bagi. Bagi beliau seorang pemimpin bukan sahaja memimpin tapi juga perlu di pimpin agar tidak akan berlakunya ketelanjuran. Beliau melihat rakyat dan masyarakat kampong adalah segala-galanya sehinggakan anak-anak beliau sendiri kadang-kadang rasa terpinggir kerana anak masyarakat kampong sentiasa di tolong untuk memasuki sekolah asrama penuh tapi anak sendiri di biarkan atas usaha sendiri biarpun anak sendiri itu berjaya dengan cemerlangnya.
Perkara pertama yang Pak Lah lakukan selepas menjawat jawatan Perdana Menteri.
Apabila Pak Lah di suatu hari dengan mengejut berada di Jabatan Imigresen, semua masyarakat seluruh negara mengangkat jari tanda bagus dan telah melihatkan tanda-tanda akan berlaku peperangan antara Perdana Menteri baru dengan gejala rasuah. Memang itulah yang terjadi kerana selepas itu Pak Lah terus-terusan menyatakan pendiriannya yang tegas terhadap gejala tersebut. Pak Su Choh mula kembang hidungnya kerana telah terbayang semua harapanya yang selama ini berputik telah berbunga segar kerana tanda-tanda insan soleh telahpun kedapatan kepada pemimpin negara yang baru ini.
Pernah di suatu masa dulu saya bertanyakan kepada Pak Su Choh tentang gejala rasuah ini dan beliau menjawab, “anakku, rasuah adalah haram, menerima rasuah adalah haram dan memberi rasuah adalah haram dan dosanya adalah jauh lebih besar dari menerima rasuah tapi jika kerana tidak memberi sesuatu itu akan memudaratkan kamu maka kamu berilah dan di hati kamu mohonlah semoga ALLAH akan mengampunkan kamu dan memberi petunjuk kapada orang yang menerima rasuah tersebut”. Pada ketika ini wajah Pak Su Choh amat sugul sekali seperti ada yang tidak memuaskan hati.
Ternyata perkara pertama yang di lakukan oleh Pak Lah kembali dapat menceriakan wajah Pak Su Choh yang selama ini sugul apabila di tanyakan soal rasuah.
Pak Su Choh tidak tahu betapa globalnya gejala rasuah kini.
Bila saya katakan Pak Su Choh tidak tahu betapa globalnya gejala rasuah kini bukanlah bermaksud untuk memperlekehkan pengetahuan Pak Su Choh biarpun beliau cuma berada di kampong dan paling jauhpun beliau biasa melangkah ialah ke Mekah untuk menunaikan haji dan umrah, tapi memang ada kebenarannya bahawa rasuah kini terlalu global dan terlalu berfesyen. Pada Pak Su Choh bila ada polis-polis tertentu di jalanan yang kadang-kadang masuk ke kampong dan buat ‘road-block’ dan masyarakat kampong balik dan bercerita tentang terpaksa bayar duit kopi RM 2 kepada polis-polis tersebut itulah yang di namakan rasuah dan kini pula berlaku rasuah politik yang mana kadang-kadang ada pemimpin yang datang dan minta di undi serta di bayar sedikit wang saguhati, itu juga rasuah. Pak Su Choh tidak tahu yang sekarang ini rasuah berlaku sehinggakan untuk dapatkan nombor giliran di kaunter imigresen pun terpaksa di bayar kepada ulat-ulat tertentu yang mempunyai kaitan dengan pegawai imigresen di kaunter-kaunter tersebut.
Pak Su Choh tidak tahu tentang banyaknya gejala rasuah dan betapa beratnya tanggung-jawab Pak Lah dalam usaha memerangi gejala ini.
Sebenarnya tanggung-jawab Pak Lah adalah jauh lebih besar dari semua Perdana Menteri sebelumnya biarpun kita berbangga dengan semua mereka kerana YAM Tunku Abdul Rahman itu adalah Bapak Kemerdekaan yang memertabatkan Tanah Melayu, Tun Abdul Razak itu pula adalah Bapak Permodenan, Tun Hussein Onn adalah Bapak Pembangunan dan Tun Dr. Mahathir adalah Bapak Pemodenan,Pembangunan dan Kemajuan negara tapi Pak Lah adalah Bapak segala Bapak-Bapak yang terdahulu kerana masyarakat Negara telah terlalu ke hadapan dan makin melupakan asas kemanusiaan dan ketuhanan dek sibuknya mengejar keuntungan dan kesenangan duniawi.
Pak Su Choh tahu yang Pak Lah telah menjadi Perdana Menteri Malaysia dan tahu yang Pak Lah juga pernah menjadi TPM sebelumnya dan tahu juga yang Pak Lah sehingga kini masih menjadi Menteri Dalam Negeri tapi Pak Su Choh tak tahu yang gejala rasuah yang paling besar berlaku dalam Negara Malaysia tercinta ini adalah dalam Kementerian Dalam Negeri yang di pimpin oleh Pak lah kerana di sini terdapat jabatan-jabatan utama negara seperti Jabatan Imigresen Malaysia, Jabatan Pendaftaran Negara, Jabatan Penguat-kuasaan Kementerian Dalam Negeri dan lain-lain lagi. Pak Su Choh tak tahu yang di Jabatan Imigresen sahaja di setiap hari berlaku berjutaan ringgit rasuah di kalangan pegawai-pegawainya dan Pak Su Choh juga tidak tahu yang ramai warga asing Pakistan di Malaysia semuanya mempunyai kad pengenalan Malaysia biarpun mereka tak tahu berbahasa Melayu dengan baik apatah lagi nak menghafal nama Yang Di Pertuan Agung Malaysia.
Pak Su Choh tak pernah berkunjung ke Jabatan Imigresen.
Dalam hidup Pak Su Choh dia tak pernah berkunjung ke Jabatan Imigresen kerana beliau juga tak mempunyai sebab untuk berkunjung ke situ biarpun kerana memohon paspot untuk menunaikan haji kerana semuanya di uruskan oleh Tabung Haji tapi dia tidak tahu bahawa di suatu kejadian seorang kawan saya rakyat Malaysia yang menetap di Negara Myanmar dan berkahwin dengan rakyat Myanmar pernah balik ke Malaysia bersama anak-anaknya dan berkunjung ke Jabatan Imigresen Wilayah di Kuala Lumpur kerana memohon paspot anaknya telah membayar RM 100.00 kerana semata-mata nak potong Q kerana beliau terpaksa menunggu lama sedangkan anak-anak beliau masih kecil dan pasti akan resah dengan suasana di situ. Kawan saya tersebut telah di tawarkan nombor yang terdahulu dan bersetuju membayar dan ulat tersebut terus menalipon ke ‘handphone’ pegawai di kaunter dan dalam masa 5 minit kawan saya tersebut telah berada di kaunter berkenaan untuk menyelesaikan urusan anak-anak beliau sedangkan jika terus menunggu hingga ke petang pun beliau belum tentu dapat menyelesaikannya dan suasana begini masih berlaku di semua kaunter imigresen di Malaysia hingga kini.
Pak Su Choh pasti akan termengah-mengah kepenatan jika beliau berurusan dengan Jabatan Imigresen apatah lagi jika Pak Su Choh mempunyai pekerja asing yang perlu di bereskan kerana urusan pekerja asing di kaunter imigresen bukanlah mudah biarpun kerjanya amat mudah sebab negara kita sudah maju dan semuanya bersistem komputer tapi urusan pekerja asing akan mengambil masa berminggu-minggu dengan jabatan imigresen meletakkan syarat yang bermacam-macam kepada majikan tapi amat jarang sekali kelihatan majikan di semua kaunter imigresen yang kelihatan cuma ulat-ulat yang berkeliaran kerana majikan telah jemu dengan kerenah imigresen tersebut. Sebenarnya perkara ini amat mudah untuk di selesaikan tak kira samada majikan datang atau tidak tapi kerajaan perlu menetapkan polisi kepada pegawai-pegarai tersebut bahawa semua perkara mesti di selesaikan dalam jarak waktu tertentu samada seminggu, dua minggu atau apa dan jika pegawai yang bertanggung-jawab kepada sesuatu kes itu tidak dapat menyelesaikan tugasnya dalam jangka waktu tersebut maka majikan berhak membuat lapuran dan pegawai tersebut perlu di ambil tindakan sewajarnya dan biarlah pegawai dari jabatan lain yang berkuasa untuk memantau pegawai di jabatan tersebut bukannya pegawai mereka sendiri kerana mereka ini sangat pandai bersandiwara kerana sandiwara mereka mendapat upah yang sangat lumayan dan jika Pak Su Choh yang mendapat upah ini pasti akan terbeliak matanya dek kerana terkejut melihat dunia. Pak Su Choh tak tahu yang di jabatan inilah yang pegawainya boleh buat duit dan senang-senag boleh beli kereta dua tiga biji sebab bapak baru dua balak bukan paku tapi pakai van unser, anak yang baru masuk ITM tu pakai proton wira dan isteri pakai proton iswara tapi dulu anak Pak Su Choh masuk ITM hari-hari jalan kaki saja.
Pak Su Choh selalu minum kopi di Simpang Kebun 500.
Tiap-tiap hari bila Pak Su Choh balik mengajar agama beliau akan singgah di kedai kopi di Simpang Kebun 500 untuk basahi tekak dan sambil-sambil bersembang dengan orang-orang Patani yang berniaga di situ maklum sajalah sebab Pak Su Choh ni pun banyak keluarga di Patani dan asal usul dia pun dari sana dan orang-orang Patani ni pun selalu beritahu kat dia yang dia orang ni datang pakai permit tapi tak apalah sebab Pak Su Choh ni pun bukan tahu apa-apa pun tentang permit kerja dan dia pun tak pernah tengok pun, jadi kalau orang betul ke atau tipu ke dia akan mengiakan saja tapi Pak Su Choh tak tau bahawa di negara kita yang tercinta ni bukan sedikit ‘orang haram’ yang duduk dan cari makan serta senang lenang di sini malah jauh lebih senang dari Pak Su Choh sendiri.
‘Orang-orang haram’ yang tinggal dan cari makan di Malaysia ni bukan seratus atau seribu tapi ratusan ribu dan mereka bergerak bebas ke mana-mana saja tanpa gangguan tapi cuma sekali-sekala terpaksa bayar sedikit wang kepada polis-polis setempat dan polis-polis ini pula memang dah kenal benar dengan ‘orang-orang haram’ ini dan cukup masa tertentu pasti mereka akan datang kutip hasil dan ‘orang-orang haram’ ini akan bebas bergerak sesuka-hati mereka. Memanglah benar bukan bidang kuasa polis nak semak samada mereka itu adalah’orang haram’ atau tidak tapi mereka ada pulak kuasa untuk semak jumlah wang yang di bayar oleh ‘orang haram’ tersebut. Pak Su Choh tak tahu yang ramai ‘orang haram’ tersebut masuk ikut pintu negeri dia di Bukit Kayu Hitam dan mereka cuma akan berbelanja sekitar RM 1,500.00 untuk di bawa masuk ke Malaysia ikut situ dan yang bawa mereka masuk bukan calang-calang orang sebab mereka ini semua dari unit pencegah, polis sempadan dan pihak imigresen sempadan sendiri. Yang Pak Su Choh tahu ialah ‘orang haram’ yang sentiasa kena tangkap dan kadang-kadang mati sebab bot karam itu pun dalam jumlah yang sedikit sebab dia tak tahu yang ‘orang haram’ yang masuk guna bot ni pun tiap-tiap hari masuk dan tak kena tangkap pun sebab dia orang pun di bawa masuk oleh orang sama juga iaitu pegawai sempadan, polis sempadan dan lain-lain lagi.
Pak Su Choh datang ke Klang untuk ziarah anak-menantu.
Pak Su Choh bila ada kesempatan dan kerinduan pada anak menantu pasti akan berkunjung ke Klang dan bila duduk di Klang tak sampai beberapa hari dah mengeluh untuk balik ke kampong. Memanglah banyak kerja dia kat kampong tapi yang paling besar ialah dia jemu tengok keadaan Bandar di Raja Klang yang macam sampah sebab pusing kiri tengok pub, pusing kanan tengok bar, pusing depan tengok rumah urut, pandang atas ada kelab malam. Pak Su Choh rasa keliru sebab Bandar Klang ini bukan bandar sembarangan sebab ini Bandar Di Raja dan Sultan memerintah negeri Selangor bersemayam di sini tapi keadaan bandarnya tak ubah seperti berada di China Town . Tapi sebenarnya itu yang mampu di pandang oleh mata beliau hakikat sebenarnya di Bandar Klang ini terdapat ratusan tempat yang serupa itu dengan penghuni dan pengunjungnya pun tak pernah kita lihat dan yang kita tahu mereka semua bangsa Cina dan India dan yang lebih menyedihkan lagi semua perempuan yang bekerja di kelab-kelab tersebut semuanya ‘orang haram’ dari China, Vietnam dan segalanya dan pendek kata barang minta barang jadilah. Rumah urut tradisional pula semua di monopoli oleh perempuan Indonesia dan bukan sedikit malah ada rumah urut tradisional tersebut mempunyai puluhan cawangan seluruh Kuala Lumpur dan Selangor. Kalau Pak Su Choh tahu dia pasti hairan sebab macamana orang-orang ini dapat permit atau dia orang sama dengan orang Patani yang dia kenal juga kah tapi sebenarnya sama jugalah sebab ini pun semua ‘orang haram’ dan mereka ini bukan kena sembunyi-sembunyi untuk buat kerja di Malaysia tapi mereka dah tutup mata dan telinga pegawai-pegawai berkenaan dengan habuan dan imbuhan dan lebih menarik lagi yang kadang-kadang tapi selalu dapat iaitu urut percuma atau rasa-rasa masam epal Cina….yang ini lagi Pak Su Choh tak faham!!
Pak Su Choh selalu beli permaidani Pakistan .
Setiap bulan kampong Pak Su Choh pasti akan di kunjungi oleh penjual permaidani dan macam-macam barang berbangsa Pakistan . Pak Su Choh tak ambil peduli sebab mereka ini semua tunggang motorsikal yang pastinya pada beliau mesti ada lesen memandu jika tidak mereka akan susah bila di tahan polis….tapi Pak Su Choh tak pernah tanya mereka macamana mereka boleh masuk ke Malaysia dan berniaga di sini…kalau beliau tanya pasti orang Pakistan tersebut dengan rasa bangga akan bawa keluar kad pengenalan mereka dan akan berkata,” kita dapat kad pengenalan di Sabah, Harris Salleh kasi”. Kalau begini jawab mereka kepada Pak Su Choh tentunya beliau akan kehairanan macamana orang Pakistan ini boleh jadi sahabat baik kepada Harris Salleh.
Hakikatnya Pak Su Choh tak pernah tahu yang semua ini adalah gejala rasuah dan bukan setakat orang Pakistan itu sahaja mempunyai kad pengenalan malah berpuluhan ribu ‘orang haram’ yang dahulunya haram kini dah pun mempunyai kad pengenalan Malaysia dan dia orang ini dapatkan kad pengenalan dari seluruh Pejabat Pendaftaran di Malaysia bukannya dapatkan di kedai kopi dan yang menyedihkan lagi ada orang-orang kuat UMNO sendiri yang bekerja keras membantu mereka untuk mendapatkan kad pengenalan tersebut dengan imbuhan yang lumayan.
Kad Pengenalan Pak Su Choh.
Kad pengenalan Pak Su Choh ini pun sama jugalah dengan warganegara yang lain Cuma yang Pak Su Choh tahu ialah berkunjung ke Pejabat Pendaftaran Negeri Kedah jika beliau ada masalah dengan kad pengenalan tapi beliau tak pernah tahu yang Jabatan Imigresen Dan Pendaftaran Negara jauh lebih besar dari Jabatan Pendaftaran yang sering beliau kunjungi. Beliau juga tidak tahu yang ramai ‘orang haram’ telah di halalkan melalui jabatan ini…semua ini cuma boleh dilakukan oleh orang-orang UMNO seperti beliau di samping bantuan pegawai-pegawai dalaman. Pak Su Choh tak tahu yang orang-orang UMNO seperti beliau yang selalu naik turun pejabat Pak Lah di Kementerian Dalam Negeri dah ramai yang kaya-raya di sebabkan oleh orang asing ini. Pak Su Choh pun selalu naik turun pejabat Pak Lah apatah lagi dengan adanya Dato’ Mahdzir Khalid yang juga nak murid beliau yang sekarang dah pun jadi orang besar di pejabat Pak Lah tapi Pak Su Choh naik turun sebab nak tolong orang-orang kampong yang nak minta masjid, nak minta jalan, nak minta lampu dan macam-macam lagi tapi beliau tak tahu ada ramai orang-orang UMNO yang macam beliau pula asyik naik turun pejabat Pak Lah dengan mengusung berdozen-dozen lapuran permohonan pekerja asing bagi pihak orang tertentu yang pastinya agen-agen pekerja asing sampaikan setengah-setengah permohonan tersebut majikannya pun tak pernah ujud apatah lagi premis kilang lagilah tak ujud namun masih di luluskan di sebabkan orang UMNO tadi. Ini baru orang UMNO belum lagi para sahabat pegawai-pegawai berkenaan di KDN. Kalau kita majikan memohon sendiri untuk mengambil pekerja asing maka kita terpaksalah menunggu berbulan-bulan dan kadang-kadang kena tolak sebab tak cukup dokumenlah, tak layaklah sebab tidak termasuk dalam kategori yang di benarkanlah, tidak mencukupi kuota ekspot dan macam-macam lagi….tapi kalau orang-orang tertentu yang hantar jangan kata tak cukup dokumen…kilang tak ujud pun akan lulus dan ambik masa dua tiga minggu sahaja.
Ini bukan cerita kosong kerana semasa Pak Lah meluluskan hampir 20,000 pekerja asing warga India dulu yang saya lihat sendiri kebanyakkannya semua di bawa oleh orang UMNO yang mengaku kenal rapat dengan Pak Lah dan sebahagian dari permohonan yang di luluskan tersebut kebanyakkan kilangnya dah tak ujud tapi pekerja asing India tersebut tetap masuk dan bekerja di mana-mana sahaja di Malaysia dan orang-orang UMNO ini dah mengaut berjuta-juta ringgit sebagai imbuhan manakala agen-agen Cina tentunya mengaut berpuluhan juta ringgit lagi.
Yang ini rasanya Pak Su Choh lagi tak tau dan kalau dia tahu sayalah orang pertama nak minta tolong beliau sebab kalau beliau yang tolong, saya tak perlu bayar apa-apa sebab beliau bukan orang yang macam tersebut sebab kalau dia tolong pun dia akan tolong ikhlas kerana ALLAH dan lagi pun takkan orang-orang di pejabat Pak Lah nak tolak beliau sebab beliau dah tua dan Tok Guru pula tu.
Anak Pak Su Choh berniaga di luar Negara.
Pak Su Choh boleh berbangga jugalah bila ada juga seorang anak beliau yang berjaya berniaga di luar negara, boleh jugalah sekali-sekala menumpang di kereta Mercedes buruk bila ada peluang itupun beliau tak pernah pandang cuma sedikit rasa bangga sajalah dan dengan doa semoga anak beliau akan berjaya dalam perniagaan. Tapi Pak Su Choh tak tahu juga negara yang anaknya berniaga tersebut adalah antara negara yang terburuk dalam indeks rasuah antarabangsa dan terletak di tangga 123 terburuk selepas Bangladesh dan Indonesia manakala Malaysia terletak di tangga ke 25 dan Singapura di tangga kedua terbaik di dunia.
Pada pandangan anak beliau biarpun negara ini adalah terburuk dari segi gejala rasuah tapi ia lebih baik sedikit dari Malaysia sebab di sini rasuah berlaku sebab pegawai mereka tak cukup makan apatah lagi nak beli kereta sebab gaji pegawai mereka di sini rata-rata cuma sekitar USD 5.00 hingga ke USD 10.00 sahaja sebulan iaitu kalau wang Malaysia ialah di sekitar RM 20.00 hingga RM 38.00 sebulan….! Mana nak cukup makan tapi di Malaysia pula pegawai-pegawainya mengamal rasuah bukan kerana tak cukup makan tapi kerana hendakkan kemewahan sebab kerajaan dah bagi cukup gaji dan bonus tahunan dengan kemudahan pinjaman perumahan, kenderaan dan macam-macam lagi pinjaman tapi masih tak cukup sebab satu kereta tak cukup nak tambah dua sebab suami kerja di lain tempat dan isteri di lain tempat pula manakala ada sebuah rumah juga tak cukup sebab sempit nak tambah rumah yang lebih besar lagi…..inilah bezanya rasuah di Malaysia.
Senda-gurau orang asing terhadap Malaysia .
Pak Su Choh tak tahu yang setiap kali anak beliau berkunjung ke luar negara setiap kali itulah anak beliau terpaksa memendam rasa bila mendengar senda gurau orang asing tersebut terhadap Malaysia yang tercinta. Kadang-kadang mereka dengan bangga akan berkata,”anak saya dah 3 tahun bekerja di Malaysia secara haram sekalipun tak kena tangkap, malah saya ada lebih kurang 20 orang dari keluarga saya semuanya bekerja di Malaysia dan semuanya secara haram, ini saya buka kedai kopi ini pun hasil gaji anak saya yang bekerja di Malaysia.”
Malah ada yang berani membuat senda gurau yang lebih tajam seperti di manakah Osama Ben Laden bersembunyi dan mereka akan menjawab sudah tentunya di Malaysia sebab cuma Malaysia sahaja yang boleh menjaminkan semua ‘orang haram’ dapat bergerak bebas tanpa di sentuh sesiapa yang pentingnya sediakan sedikit wang kopi sebagai imbuhan setiap bulan….itu sahaja.
Anak Pak Su Choh di Negara orang dan Orang di Negara Pak Su Choh.
Anak Pak Su Choh berniaga di negara orang…..pejam celik dah masuk 4 tahun dan satu-satunya bangsa melayu yang berniaga di situ dan jika ada bangsa melayu yang lain pun cumalah kakitangan Pejabat Kedutaan Malaysia, kakitangan Petronas, kakitangan Penerbangan Malaysia dan beberapa syarikat yang lain dan boleh di bilang dengan jari tanpa perlu meminjam jari orang lain dan jika ada orang melayu yang lain bukanlah di anggap tetap sebab mereka sentiasa keluar masuk untuk mengambil pekerja asing di negara tersebut tanpa mempunyai pejabat mereka sendiri tapi di kad perniagaan mereka semua ada alamat perniagaan di negara tersebut…..semuanya tipu dan mereka cuma datang sehari dua dan balik ke Malaysia. Tapi anak Pak Su Choh dah bertahun-tahun di situ dan telah mempunyai pejabat sendiri serta kakitangan sendiri.
Anak Pak Su Choh berniaga di sini tidaklah semudah bangsa tersebut bekerja di Malaysia baik haram ataupun halal sebab di sini semua orang asing sentiasa di ekori dan segala perbuatan, percakapan telefon semua di semak dan di rekod….email pun di tapis sebab kalau kita di Malaysia hantar email dalam waktu sesaat penerima dah boleh membaca email tersebut tapi di sini kalau hantar email ambil masa berjam-jam untuk di terima sebab semuanya di tapis dahulu. Berniaga di sini perlu berhati-hati dan perlu semuanya mendapat lesen serta kebenaran tapi itu semua tak menjadi halangan sebab memang telah menjadi dasar kita mematuhi arahan sebab dah di ajar oleh Pak Su Choh.
Tapi kalau ‘orang mereka’ yang bekerja di Malaysia semuanya samada haram atau halal pastinya akan melakukan keharaman, kalau tidak masuk secara haram mereka akan hantar pulang wang secara haram melalui agen-agen mereka yang penuh di Jalan Silang Kuala Lumpur malah ada yang telah buka restoran besar di Jalan Silang tersebut dan dah kaya-raya sebab anak Pak Su Choh selalu naik ekonomi kelas tapi mereka naik kelas pertama atau kelas perniagaan. Bukan setakat itu sahaja malah segala barang-barang haram dari negara mereka seperti samsu mereka, bir mereka, rokok mereka semua di jual di situ tanpa di usik oleh mana-mana agensi kerajaan Malaysia baik Bank Negara Malaysia atau Imigresen Malaysia, polis Malaysia maupun Jabatan Penguatkuasaan Negara Malaysia cuma baru-baru inilah kedengaran terdapat sebuat kapal mereka di tahan di perairan Pulau Pinang kerana membawa masuk rokok, bir dan samsu …itu pun baru sekali namun pada hakikatnya perkara ini dah berakar umbi puluhan tahun yang dahulu dan di setiap hari pasti ada kapal mereka yang mengangkut segala barang haram dari negara mereka tersebut.
Yalah, betul juga kata orang-orang ini ….mereka terpaksa berbuat demikian kerana negara mereka terlalu teruk sehinggakan sistem bank antarabangsa pun tak ada macamana nak kirim wang secara halal….tapi ini semua kita sebagai rakyat Malaysia tidak peduli sebab kita di negara mereka semua ikut peraturan dan bila mereka di negara kita pun mestilah ikut peraturan juga. Tapi bila kita cakap macam ni mereka akan ketawakan kita sebab jika ikut peraturan pun mereka sama juga malah merugikan sedangkan kalau guna ‘money changer’ haram mereka lebih menguntungkan dan kalau masuk Malaysia pakai agen haram pun lebih banyak kos yang boleh di jimatkan dan yang lebih penting sebab di Malaysia ramai orang dan pegawai kerajaan yang berbesar hati nak menolong mereka tanpa perlu berbelanja besar. Masuk secara halal ‘LEVY’ imigresen nak kena bayar, bayaran agensi lagi, medical check-up lagi dan macam-macam lah.
Sebenarnya semua ini dapat dikurangkan biarpun tidak dapat di hapuskan keseluruhannya jika semua pihak bekerja-sama…..pertamanya pihak kerajaan mestilah serius dalam menangani semua penguat-kuasaan dan bukannya bermusim dengan ops itu ops ini sahaja, perasuah-perasuah haruslah di kenal-pasti dan di bersihkan dulu tanpa memperdulikan siapa mereka dan apa bulunya, majikan pula perlu di beri kelonggaran sepenuhnya untuk mendapatkan pekerja asing tanpa mengira apa sektor perniagaan mereka sebab di Malaysia bukan sektor pengekspotan sahaja kekurangan pekerja tapi semua sektor pun kurang pekerja hingga di kedai runcit sekalipun nak cari pembantu kedai buat masa sekarang puas bertanya ke sana-sini, laksanakan segala undang-undang dengan benar dan terbuka sebab hingga sekarang apabila kerajaan melaksanakan hukuman sebat ke atas ‘orang haram’ tapi berapa sahaja yang telah di sebat, turunkan kadar ‘LEVY’ imigresen supaya ramai yang mampu datang dan bayar tapi wang ini boleh di kutip melalui cara yang lain samada melalui percukaian atau apa juga dan macam-macam lagilah dan yang paling penting juga permudahkan segala proses agensi kerajaan sebab agensi kerajaan di ujudkan bukan untuk memberi kesusahan kepada rakyat tapi untuk membantu rakyat dan jika mereka sekadar ujud untuk membuat peraturan itu dan peraturan ini serta menyusahkan rakyat lebih baik agensi tersebut di hapuskan sahaja dari senarai badan kerajaan…..!
Banyak perkara yang Pak Su Choh akan tahu tentang globalnya rasuah kini.
Selepas dari penulisan ini di baca oleh Pak Su Choh, pasti beliau akan banyak mengetahui tentang globalnya rasuah di Malaysia dewasa ini dan muka gembiranya pasti akan sugul kembali mengenangkan anak Tok Guru sepertinya iaitu Pak Lah terpaksa berjuang habis-habisan untuk memerangi gejala ini.
Untuk pengetahuan Pak Su Choh, bukan mudah bagi Pak Lah mengatasi kemelut ini sebab di sekeliling beliau terlalu ramai perasuah yang bermacam-macam dan mereka sentiasa berlindung di sebalik pangkat dan darjat, di sebalik wajah UMNO mereka, di sebalik songkok dan serban juga…!
Ini semua di tulis baru berkisar kepada gejala rasuah di Malaysia yang saya kira tentunya Pak Su Choh akan mengelengkan kepala beliau dan akan kembali bertafakur serta berdoa…belum lagi berkisar kepada keadaan jenayah, senjata api, rogol, culik dan macam-macam lagi dan dah tak ubah macam keadaan samseng jalanan di Hong Kong dah. Semua ini cabaran Pak Lah sebagai Perdana Menteri Malaysia yang kelima yang saya anggap sebagai Perdana menteri yang lebih bersikap pelengkap kepada segala yang telah di buat oleh Bapak-Bapak sebelum ini.
No comments:
Post a Comment